Sunday, 2 December 2012

Overpriced



Hari ini sangat memenatkan. Seharian membersihkan bilik yang dah lama tak berkemas - habuk sana sini, meja bersepah, rak berdebu, buku berterabur. Tiba-tiba mata terpandang satu sampul merah - yang dalamnya tersimpan kemas sekeping kertas ; sijil akademik.

**********
3 tahun sebelum itu.

"Petang ni bola jom!"

Sebaik saja solat Asar, Mat si kaki bola terus mengajak aku beriadah. Memang selalunya aku suka main, tapi bila fikir SPM cuma tinggal 3 bulan, aku menolak. Alasan? SPM bro! Kehangatan SPM kian terasa, takut dan risau kalau-kalau tak mampu nak dapat semua A+

*****
Malam hujung minggu. Malam yang selalunya diraikan dengan masa lepak di kafeteria dan dewan makan, atau pun di bilik sekadar lepak atau bermain poker, tapi aku masih di kelas. Kenapa? SPM bro! Kehangatan SPM kian terasa, takut dan risau kalau-kalau tak mampu nak dapat semua A+

*****
Minggu ini giliran kaum Adam outing. (sekolah ni kena gilir-gilir outing lelaki perempuan, nanti ada orang dating katanya) tapi aku tahu, kalau outing mesti dah ambil masa paling kurang 2 jam - masa yang aku boleh guna untuk buat latihan Sejarah. Hmm, takpa. Habis SPM boleh outing. Kehangatan SPM kian terasa, takut dan risau kalau-kalau tak mampu nak dapat semua A+

*****
Macam biasa, menu supper hari Sabtu - roti kaya dan nescafe. Disebabkan menu yang kurang menyelerakan, selalunya malam itu la budak-budak form 5 akan fly ke Ida Tomyam untuk 'special supper'. Walaupun agak berbahaya jika kantoi dengan warden, tapi nilai kesedapan tomyam dan kekenyangan lagi tinggi. Aku cuma makan biskut di bilik supaya ada masa untuk study. Kehangatan SPM kian terasa, takut dan risau kalau-kalau tak mampu nak dapat semua A+

**********

Alhamdulillah, aku dapat semua A dalam SPM. Dan ramai juga kawan aku yang lain dapat semua A. Hmm, tapi, aku bayar mahal sikit.

Overpriced. Mungkin.

We all succeeded, but at what cost?






Monday, 17 September 2012

Semangat



"Kita sudahi perjumpaan kita dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr", kata Rahman selaku Presiden Badan Wakil Pelajar kepada biro-bironya.

Rahman yang penat teramat sudah mula layu. Mana taknya, selepas latihan nasyid pada waktu tengahari, dia terpaksa bergegas ke dewan untuk menyusun meja dan kerusi, kemudian berlari ke padang untuk latihan sepak takraw, selepas maghrib pula ada perjumpaan ahli BWP.

"Man, jom balik! Aku nak tengok satu video ni, orang cakap video ni hina agama Islam. Tak puas hati betul aku!" Imran mengajak Rahman pulang.

"Oh video tu ke? Hmm aku pun baru sempat usha sikit je semalam.. Memang kurang ajar betul! Aku bengang je tengok video tu bahan Nabi." Rahman memberi ulasan pendek.

"Tahu takpe, itu yang aku tak puas hati tu.. Aku memang tak boleh la kalau orang buat main pasal agama ni. Mentang-mentang ada banyak pengaruh media, lepas tu cakap ni freedom of speech. Gila ke apa!"

"Itu la yang aku geram. Aku dengar hujung minggu ni ada budak-budak ni nak buat demonstrasi nak protes video tu. Aku nak join sekali! Aku nak tunjuk dekat dunia ni, orang Islam ni bukan bahan jenaka!", Rahman makin bersemangat.

"Ok, set!", balas Imran.

***********

Esoknya..

"Man, dah nak pukul 8. Bangun wey..kelas kelas!", jerit Zani, merangkap teman sebilik Rahman.

"Hmm kejap lagi la.."

Mungkin Rahman belum cukup bersemangat untuk bangun pagi. Atau semangatnya dah disimpan untuk hujung minggu ini. Atau mngkin dia boleh agihkan sedikit semangatnya supaya sama rata.





Friday, 7 September 2012

Kuiz



"Minggu depan atau dua minggu lagi saya akan buat kuiz, tapi saya tak akan beritahu hari apa, jadi kamu semua pandai-pandai la study. 30% dari markah final kamu, saya ambil dari markah kuiz ni nanti", pesan Cikgu Ahmad sebelum dia keluar dari kelas tengahari itu.

Azrul terus angkat beg dan bergerak keluar ke dewan makan, Zafri mengikut dari belakang.Tengahari, panas dan lapar merupakan perkara yang tak boleh dipisahkan, umpama pantai, laut dan pasir.

"Weh Azrul, tunggu kejap!" jerit Zafri, jelas tercungap-cungap tatkala ingin mengejar rakan sekelasnya yang berlari-lari anak. Mungkin tidak mahu beratur panjang di dewan makan nanti. Kalau terlambat sikit, silap haribulan, boleh sempat tidur dulu la sementara beratur.

"Kau rasa nanti kuiz tu hari apa eh? Gila betul! 30% masuk markah final, teruk la. Aku dah la tak baca apa pun lagi", keluh Zafri.

"Alaa..bukannya tiap hari kelas Math. Kelas dia hari Isnin, Rabu dengan Khamis je. Nanti malam sebelum Isnin, Rabu dengan Khamis, study la sikit. At least, boleh la prepare, nasib baik dia tak buat surprise quiz, kalau tak, markah pun surprise la jawabnya. Hahaha! ",  Azrul tenang memberi cadangan.

"Tau takpa, at least aku tahu la bila nak kena study, boleh get ready siap-siap. Wey, nanti ajar aku tau. Study sama-sama. "

"Beres! Jom makan dulu", jawab Azrul.

**********

Selepas makan tengahari..

"Zafri, lepas Zohor nanti aku nak terus study kat surau. Jom sekali", Azrul mengajak.

Zafri yang nyata kekenyangan sudah mula mengantuk. Orang kata, tengahari ni memang sedap tidur. Mukanya seakan ingin menolak ajakan Azrul, dan sememangnya dia menolak. 

"Takpe la, kau pergi dulu. Aku penat la. Nak tidur kejap".

**********

Tersebut dalam satu hadis yang mengatakan bahawa orang yang paling cerdik di kalangan manusia ialah orang yang mengingati mati, kerana mati itu pasti, cuma tidak diketahui bila. Andai kata mati itu ada tarikh atau harinya, mungkin Isnin atau Rabu, nescaya ramailah manusia berkumpul di masjid meminta taubat pada setiap Ahad atau Selasa malam.




Wednesday, 22 August 2012

Buat para wanita



"Panas betul la hari ni, rasa nak pergi minum cendol je. Fuhh syok betul! " terik panas tengahari itu sememangnya tak tertahan. Fazli segera bangun mencapai kunci kereta lalu terus keluar dari rumah. Kedai cendol yang paling dekat pun jauhnya lebih kurang 15 kilometer dari rumah.

Enjin dihidupkan. Gear ditukar dari P kepada D, tapi belum sempat Fazli menekan paddle minyak, telefon bimbitnya berbunyi, menandakan ada SMS diterima. Gear ditukar kepada N, telefon diambil sambil kepala bersandar di headrest dan SMS dibaca..rupanya dari Izah.

Fazli tersenyum keseorangan sambil tangannya pantas menaip mesej. Maklum lah, gadis yang baru dikenalinya sebulan lalu tiba-tiba bertanya khabar di kala tengahari yang panas terik. 

Walaupun baru berjumpa sekali ketika sedang membeli belah, nyata kecantikan Izah dan kelembutan suaranya tak dapat dilupakan oleh Fazli. Seringkali saja Fazli menelefon Izah sekadar untuk bertanya khabar dan berbual kosong. Menyedari hakikat bahawa Izah belum lagi berpunya, dan melihatkan dirinya juga masih tercari-cari pasangan hidup, Fazli secara tak sedar telah 'ketagih' untuk terus berhubung dengan Izah. Izah yang tampak sangat peramah juga selalu saja melayan bualan Fazli. 

"Saya nak pergi beli cendol ni", Fazli membalas SMS Izah. Tersenyum sendiri. Mungkin terperasan sendiri. Atau bahasa lainnya, syok sendiri. 

Gear ditukar kepada D semula. "Panas betul la hari ni.." keluhnya lagi.

"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik" (Surah Al Ahzab ayat 32)






Friday, 17 August 2012

Orang Kita



"Ha, tu ada meja kosong", cepat-cepat Khairul bergegas ke arah meja tersebut sebelum meja itu diambil orang lain. Memang tiap-tiap kali waktu lunch, aku, Khairul dan Azmi akan pergi ke situ. Sedap pun sedap, murah pun murah.

Aku memang tak sabar nak dengar pasal perkembangan dari Khairul - tentang perniagaan air di pasar malam - sejak sebulan lalu.

"Aku rasa tak menjadi la.. dah dekat 4 minggu, tapi macam tak balik modal je.." keluh Khairul. Ooo nampak gaya bisnes kurang memberangsangkan.

" Dulu ustaz aku ajar, nabi ada cakap yang rezeki tu 9 / 10 dari rezeki.. tapi.. hmm tak tau la.. aku nak cari kerja lain kot bulan depan "

Aku pun tiba-tiba terfikir benda sama.. sebab pakcik aku pun meniaga air juga.. setakat yang aku tahu, untung besar kalah tauke Petronas.

Tiba-tiba azan berkumandang, maksudnya, dah masuk Zohor.

"Weh, jom solat. Dah azan. ",  Azmi mengajak. Aku segera bangun, tanda mengajak Khairul ke surau di sebelah warung.

"Korang pergi la dulu.. aku nak uruskan benda sekejap"


**********

Sementara itu, di sebuah sekolah menengah...

"Aku dah hantar dah kerja matematik tu minggu lepas. Cikgu cakap kalau hantar kerja tu, confirm boleh jawab test.. tapi tadi aku jawab, satu apa pun tak dapat..", Norman bersungut. Hadi yang setia mendengar cerita teman karibnya tu tergaru-garu kepala.

"Ek eleh kau ni pun.. Cikgu tu cakap dah betul.. kau je yang tak betul.. Memang la kau hantar, tapi yang kau pergi tiru buat apa.. Bukan cikgu cakap benda tipu, kau je yang masalah.. Aku pun hantar, tapi buat sendiri.. senang je tadi aku buat.", balas Hadi dengan nada separa sarkastik.


***********

Aku terus ambil wudhuk dan bersedia untuk solat Zohor.

Sunday, 12 August 2012

Maha Besar



Hari makin gelap. Ah, malas betul nak mandi. Penat main dekat padang tadi sekejap tak hilang lagi. Itulah rutin harian aku, memang tiap-tiap petang main, kasi peluh-peluh sikit. Orang cakap, badan cergas, minda cerdas.

*******

"Mat, malam ni lepak mamak jom. Ada game best, lepak sana macam syok sikit, mula pukul 9..", pelawa rakan serumah aku. Dia memang kaki bola. Tak pernah miss tengok kat mamak tiap kali ada masa terluang.  Malam ni tak payah masak. Makan roti canai, jimat.

*******

"Allahuakbar..Allahuakbar.." bunyi azan kedengaran dari telefon. Oh, nak masuk waktu Isyak. "Mat, nanti pakai kereta aku je, nak isi minyak sekali. Jom la..nanti ramai kang, takda tempat duduk, dah2, jom!", "Eh.."

*******


bilamana Allah Maha Besar cuma satu ungkapan, tiada makna di hati.



Syukran.




"Beri definisi syukur"

semua orang boleh beri maksud syukur. semua orang pun tahu  apa itu syukur.


Tapi, ikhlaskah kita dalam bersyukur? Tahukah kita nilai dan erti sebenar syukur. Aku yakin, tak semua orang betul-betul faham bagaimana rasanya bersyukur.

Orang cakap, bersyukurlah atas nikmat tuhan yang ada, contohnya masa, kesihatan, kekayaan dan lain-lain. Lalu berkatalah, aku sangat bersyukur atas nikmat tuhan ini. Tapi, adakah sekadar kata-kata atau pun datang dari hati? Aku sendiri akui aku belum benar-benar mensyukuri nikmat pemberian tuhan.

Kenapa ? Sebab aku pasti yang aku faham macam mana rasanya syukur tu, atau apa yang sebenarnya timbul dari hati dan perasaan bila aku rasa 'bersyukur'. Dan bukannya pada setiap masa dan saat aku melalui perasaan syukur tu.

Aku belajar bersyukur melalui pengalaman. Apabila mendapat suatu kelebihan selepas merasai kekurangan, bila berjaya, selepas gagal. Dan jika sekiranya kejayaan tu dapat dirasai tanpa kegagalan, susah sikit untuk hadir rasa syukur dalam hati.

Sebab itu kebanyakan muallaf dilihat lebih mensyukuri nikmat Islam daripada kebanyakan remaja Islam pada masa kini. (berdasarkan pemerhatian semata-mata)


   Andaikan situasi seorang manusia yang tak pernah mempunyai laptop dan terpaksa 1) ke library  untuk menggunakan komputer atatu 2) pinjam laptop kawan dan keadaan ni berlanjutan hingga 2 tahun. Aku yakin, jika sekiranya dia mendapat laptop sendiri pada tahun berikutnya, dia faham apa itu syukur.

   Andaikan situasi seorang pelajar yang tidak mempunyai rumah dan terpaksa menumpang tidur di ruang tamu rumah orang lain untuk satu semester, alangkah nikmatnya apabila pelajar tersebut mendapat rumah sendiri pada sem berikutnya. 


Bagi yang mendapat markah rendah dalam satu-satu test, jangan kecewa. Tapi bersyukur lah. Sekurang-kurangnya bukan kena tendang dari institusi pengajian pun. 

Post Pertama

Salam wbt dan salam sejahtera.


Alhamdulillah, ini adalah post pertama untuk blog ini.

Moga-moga post-post yang berikutnya dapat memberi manfaat kepada pembaca.

Amin.